Wednesday, May 13, 2020

Fadilat Ramadhan


1. Bulan Ramadhan Adalah Bulan Al Quran

Diturunkan Al Quran Al Karim pada malam lailatul qadar di bulan ramadhan. Firman Allah Taala dalam surah Al Baqarah ayat 185 :

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن

Bermaksud : ( Bulan ramadhan diturunkan padanya Al Quran )

Membaca Al Quran seharusnya menjadi amalan setiap insan yang inginkan kejayaan di dunia dan di akhirat. Amat besar ganjaran yang diberikan oleh Allah Taala kepada mereka yang sentiasa menyebut kalimah-kalimah-Nya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam At Tirmidzi daripada Ibnu Mas'ud RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

من قرأ حرفا من كتاب الله فله به حسنة ، والحسنة بعشر أمثالها ، لا أقول ( الم ) حرف ولكن ألف حرف ، ولام حرف وميم حرف

Bermaksud : ( Barang sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu hasanah. Dan satu hasanah itu diberikan sepuluh kali ganda sepertinya. Aku tidak berkata alim lam mim itu satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu pula satu huruf )
Imam At Tirmidzi ( 2910 ), As Silsilatu As Sohihah ( 3327 )

Bayangkan terlalu besar rahmat Allah Taala untuk hamba-hamba-Nya di dunia ini. Dengan sedikit amalan sahaja diberikan ganjaran berlipat kali ganda. Tepuk dada tanya selera dan kemahuan. Dalam satu riwayat yang lain menceritakan bahawa Al Quran memberi syafaat pada hari kiamat kelak kepada sesiapa yang membacanya di dunia ini. Daripada Abu Umamah RA berkata, bersabda Nabi SAW :

اقرؤا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه

Bermaksud : ( Bacalah Al Quran, maka sesungguhnya Al Quran itu datang sebagai pemberi syafaat pada harikiamat kelak kepada orang-orang yang membacanya )
Imam Muslim ( 804 )

Selain itu, membaca Al Quran merupakan salah satu sifat dan amalan orang-orang yang soleh dan benar. Ianya adalah perniagaan dan pelaburan yang tidak akan rugi buat selama-lamanya. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala dalam surah Faathir ayat 29 bermaksud :

( Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah, mendirikan solat dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, samada tersembunyi atau terang-terangan, mereka itu ( dengan amalan yang demikian ) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi )

Pahala yang besar ini diberikan kepada orang-orang yang sentiasa basah lidahnya dengan membaca Al Quran tanpa mengira masa dan ketika. Sudah tentu ganjaran yang lebih besar akan diberikan sekiranya amalan ini diamalkan di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan Allah Taala. Nabi SAW sendiri telah menunjukkan kepada kita betapa pentingnya ibadat ini diberikan penekanan yang berlipat kali ganda pada bulan ramadhan. Hal ini jelas diceritakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Ibni Abbas RA bahawa sesungguhnya Jibril AS datang menemui Nabi SAW setiap malam di bulan ramadhan bertujuan untuk tadarrus Al Quran.

Berkata Ibnu Abbas RA bermaksud : ( Adalah Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah. Dan sifat pemurah Baginda paling ketara ialah di bulan ramadhan ketika Jibril datang menemuinya. Dan Jibril menemui Baginda SAW pada setiap malam di bulan ramadhan lalu ia mentadarusnya akan Al Quran ... ) - iaitu Nabi SAW membaca dan Jibril mendengar.
Imam Bukhari ( 6), Imam Muslim ( 2308 )

Pada tahun di mana Baginda SAW wafat, Jibril datang menemuinya dan Baginda membaca Al Quran di hadapan Jibril sebanyak 2 kali khatam.
Imam Bukhari ( 4712 )

Golongan salaf sebelum ini sangat menghargai tempoh masa yang amat singkat ini dengan memperbanyakkan ibadah khususnya membaca Al Quran. Ikutilah kisah dan hal mereka apabila datangnya ramadhan :

01. ِِAl Aswad bin Yazid khatam Al Quran pada setiap 2 malam di bulan ramadhan. Beliau tidur di antara maghrib dan isyak. Beliau khatam Al Quran setiap 6 malam di bulan lain selain ramadhan. ( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /51 )

02. Said ibnu Jubair khatam Al Quran pada waktu antara maghrib dan isyak di bulan ramadhan. Mereka pada masa itu melewatkan solat isyak. ( ( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /324 )

03. Al Walid bin Abdul Malik khatam Al Quran pada setiap 3 hari. Beliau khatam Al Quran pada bulan ramadhan sebanyak 17 kali khatam, beliau berkata ( Andainya Allah tidak menyebut tentang kisah kaum Luth, aku tidak terfikir ada manusia yang melakukan itu ) ( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /347 )

04. Qotadah khatam Al Quran pada setiap tujuh hari. Apabila datang ramadhan, beliau khatam pada setiap tiga hari. Dan pada 10 malam terakhir, beliau khatam pada setiap malam. ( Siyarul A'lam An Nubala' 4 /276 )

05. Imam Syafie khatam Al Quran sebanyak tiga puluh kali sebulan. Pada bulan ramadhan pula, beliau khatam sebanyak enam puluh kali. ( Siyarul A'lam An Nubala' 83,10 / 36 )

06. Muhammad bin Ismail Al Bukhari ( Imam Bukhari ) khatam Al Quran sekali sehari pada waktu siang di bulan ramadhan. Dan beliau qiyamullail selepas solat terawih dengan khatam pada setiap tiga malam. ( Siyarul A'lam An Nubala' 12 / 439 )

07. Imam Malik meninggalkan pengajaran hadith buat seketika apabila masuknya bulan ramadhan. Beliau mula menumpukan perhatiannya kepada bacaan Al Quran.

08. Imam Malik tidak mengeluarkan fatwa dan mengajarkan hadith apabila tibanya ramadhan. Dia berkata bahawa ini adalah bulan Al Quran.

09. Imam Ahmad menutup buku-bukunya di bulan ramadhan dan beliau berkata inilah bulan untuk bersama Al Quran.

Banyak lagi kisah yang menceritakan tentang keadaan dan hal golongan salaf apabila tibanya bulan ramadhan ini. Semoga Allah Taala memberikan kita kekuatan untuk beramal soleh sepertimana mereka beramal. Amin...

Berbeza halnya dengan masyarakat kita sekarang ini yang tidak menjadikan bacaan Al Quran sebagai satu budaya hidup. Al Quran dipandang sebagai satu azimat sahaja dan hanya dibaca pada majlis-majlis rasmi sebagai pembuka majlis, itu pun 5 hingga 6 ayat sahaja sebagai simbol keberkatan. Lebih menyedihkan ramai pula di antara kita yang hanya meletakkan mushaf di tempat-tempat yang tinggi dengan sangkaan menghormati Al Quran sedangkan ianya tidak pernah dibuka untuk dibaca dan dihayati isi kandungannya. Ada pula Al Quran hanya dijadikan sebagai perhiasan dinding rumah dengan ukiran khat yang cantik sedangkan kita sendiri tidak pernah tahu apa yang tertulis sebenarnya. Semoga Allah Taala memberi hidayat-Nya kepada kita semua.

2. Bulan Ramadhan Adalah Bulan Sabar

Diketahui umum bahawa puasa menuntut kesabaran yang tinggi. Dengan meninggalkan makan, minum dan berbagai-bagai lagi perkara yang sudah menjadi kelaziman diri setiap hari, terpaksa dilupakan sepanjang hari demi mematuhi suruhan Ilahi. Benarlah kata pepatah " Puasa Itu Separuh Daripada Sifat Sabar ". Dan sabar itu ganjarannya adalah syurga. Firman Allah Taala dalam surah Az Zumar ayat 10 :

إنما يوفى الصابرون أجرهم بغير حساب

Bermaksud : ( Sesungguhnya dikurniakan ganjaran orang-orang yang sabar itu dengan ganjaran yang tidak terkira )

3. Ditutup Pintu-Pintu Neraka, Dibuka Pintu-Pintu Syurga Dan Syaitan-Syaitan Dibelenggu

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata, bersabda Rasulullah SAW :

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطن

Bermaksud : ( Apabila tibanya ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan )

Peluang keemasan ini sewajarnya tidak dilepaskan begitu sahaja. Syaitan dan kuncu-kuncunya yang selama ini sentiasa berusaha menyesatkan anak-anak cucu Adam AS dan memastikan mereka berada jauh daripada jalan Allah. Tibanya ramadhan, perancangan dan tipu daya mereka mereka tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana mereka dibelenggu dan pastinya manusia berupaya mengadap Allah Taala tanpa ada halangan daripada unsur-unsur luaran melainkan halangan dalam dirinya sahaja.

4. Bulan Ramadhan Terdapat Padanya Lailatul Qadar

Lailatul qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan. itulah maksud firman Allah Taala dalam surah Al Qadar. Umur umat Nabi Muhammad SAW sekitar 60 tahun sahaja. Daripada 60 itu mungkin 10 tahun sahaja digunakan untuk betul-betul beridabadah kepada Allah Taala. Selebihnya dihabiskan untuk urusan-urusan yang lain. Rahmat Allah Taala itu amat luas buat hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan jujur mencari keredhaan-Nya. Seribu bulan menyamai 83 tahun lebih. Satu jumlah masa yang amat jarang kita mendengar ada manusia yang menjangkauinya. Bayangkan dengan hanya beribadah kepada Allah Taala pada satu malam sahaja menyamai beribadah selamat 83 tahun. Terlalu besar rahmat Allah Taala untuk hamba-hambanya.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW :

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Bermaksud : ( Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar dalam keadaan dia beriman dan mengharapkan balasan baik daripada Allah,maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu )
Sahih Al Bukhari ( 37 ), Sahih Muslim ( 759 )

Persoalannya sekarang, bilakah malam lailatul qadar ini ? Sila lihat kenyataan di bawah ini;

1. Lailatul qadar hanya berlaku di bulan ramadhan.
2. Lailatul qadar berlaku pada 10 malam terakhir
3. Lailatul qadar berlaku pada malam ganjil daripada 10 malam terakhir.
4. Lailatul qadar diharapkan berlaku pada malam 27

Sila perhatikan dalil-dalil di bawah ini :

Bersabda Rasulullah SAW :

التمسوها في العشر الأواخر ، في الوتر

Bermaksud : ( Carilah malam lailatul qadar itu pada sepuluh yang terakhir, pada malam yang yang ganjil )
Sahih Al Bukhari ( 1912 ), Sahih Muslim ( 1167 )

Dalam sebuah riwayat daripada Ubadah bin Shamit RA menceritakan pada suatu hari Rasulullah SAW keluar untuk memberi tahu para sahabatnya bilakah malam lailatul qadar ini. Di pertengahan jalan, terdapat 2 orang lelaki sedang bertengkar. Selepas menyelasaikan permasalahan mereka berdua, ditakdirkan Allah Taala, Baginda SAW lupa bilakah malam lailatul qadar itu. Baginda SAW mengharapkan ketentuan Ilahi ini adalah satu kebaikan untuk umatnya. Baginda SAW berkata :

فالتمسوها في التاسعة والسابعة والخامسة

Bermaksud : ( Maka hendaklah kamu semua mencarinya - yakni lailatul qadar pada malam sembilan, ketujuh dan kelima )

Maksud hadih : ( malam kesembilan - ialah di mana 9 hari berbaki daripada ramadhan iaitu malam ke 21. Begitu juga hari ketujuh dan kelima ).

Sahih Al Bukhari ( 1919 )

Daripada Muawiyah bin Abi Sufyan RA berkata, sabda Rasulullah SAW :

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Bermaksud : ( Lailatul qadar itu ialah pada malam ke dua puluh tujuh )
Sunan Abu Daud ( 1386 ), Sahih Al Jami' ( 5474 )

Lailatul qadar pada malam ke-27 ramadhan adalah mazhab jumhur para sahabat Nabi SAW dan jumhur para ulamak. Diriwayatkan bahawa Ubai bin Kaab RA bersumpah bahawa sesungguhnya lailatul qadar ialah pada malam ke-27 ramadhan ( Jami' At Tirmidzi 158 / 3 - hadith sahih ).

Kesimpulan : Kebiasaannya ( bukan selalu ) lailatul qadar berlaku pada malam ke-27 ramadhan berpandukan kepada nas-nas yang sangat jelas akan makna dan penentuannya. Ini kerana terdapat satu riwayat sahih bahawa lailatul qadar pernah belaku pada malam ke-21 ramadhan sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Said RA ( Sahih Al Bukhari 1914, Sahih Muslim 1167 )
Jalan terbaiknya ialah kita hendaklah mempertingkatkan amalan kita apabila tibanya sepuluh malam terakhir ramadhan. Amalan dipertingkatkan lagi pada malam-malam ganjil. Dan kemuncak untuk tingkatkan amalan ialah pada malam ke -27 dengan harapan sekiranya berlaku lailatulqadar pada malam tersebut. Dengan ini, kita beramal dengan kesemua nas yang menceritakan tentang lailatul qadar. Sesungguhnya Allah Taala itu Maha Mengetahui setiap sesuatu...

Tanda-tanda datang malam lailatul qadar :

1) Matahari terbit keesokannya menyala kemerah-merahan, cahayanya agak lemah dan tidak berselerakan ( Imam Muslim - 762 )

2) Malamnya adalah malam yang nyaman/tenang, bercahaya, tidak panas dan tidak pula sejuk, dan tiada pula panahan di langit ( Sahih Ibnu Khuzaimah - 2192 ) Berkata Al Albani, hadih sahih dengan syawahidnya - lihat Ad Dhoifah 4404

Ada beberapa tanda yang masyhur didengar dan sering diceritakan terutama sekali mereka yang inginkan kebaikan kepada umat muslimin. Tapi sayangnya, tanda-tanda ini tidak terdapat dalam mana-mana riwayat yang sahih daripada Nabi SAW. Di antaranya ialah :

1) Pokok-pokok pada malam itu menundukkan dahan-dahannya sehinggakan boleh dicapai oleh manusia.

2) Air yang masin pada malam itu menjadi tawar.

3) Anjing-anjing tidak menyalak pada malam lailatul qadar.

4) Terdapatnya cahaya pada setiap tempat sehinggakan tempat yang gelap pun dilihat terang.

5) Kedengaran suara memberi salam pada setiap tempat dan tidak diketahui daripada mana datangnya suara tersebut.

6) Dll

5. Orang Yang Berpuasa Diberi Ganjaran Tidak Terkira

Setiap amalan manusia diberi ganjaran sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda melainkan ibadat puasa. Sesungguhnya ganjaran puasa hanya Allah Taala mengetahuinya. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW :

كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف قال الله عز وجل : إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به ، يدع شهوته وطعامه من أجلي ....... الخ

Bermaksud : ( Setiap amalan anak Adam berganda kebaikannya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Berkata Allah Azza Wa Jalla : melainkan puasa, maka sesungguhnya ianya adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran akannya. Dia meninggalkan syahwat dan makannya kerana-Ku ......... ) Sahih Al Bukhari ( 4/103 ) Sahih Muslim ( 1151 )

Selain itu, puasa menuntut kesabaran yang tinggi, menempuah berbagai-bagai ujian dan dugaan di siang hari. Semua itu dilakukan semata-mata kerana Allah Taala. Mereka yang berjaya melalui semua dugaan ini, pasti akan tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar ( As Sobirun )

Firman Allah Taala dalam surah Az Zumar ayat 10 berbunyi :

إنما يوفى الصابرون أجرهم بغير حساب

Bermaksud : ( Sesungguhnya dilimpahkan ganjaran orang-orang yang sabar itu dengan ganjaran yang tidak terkira banyaknya )

6. Puasa Merupakan Benteng Daripada Api Neraka

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Jabir RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

الصوم جنة يستجن بها العبد من النار

Bermaksud : ( Puasa itu adalah benteng di mana seseorang hamba itu berlindung disebaliknya daripada api neraka ) hadith hasan - Sahih Al Jami' 3867

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Said Al Khudri RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

من صام يوما في سبيل الله ، باعد الله وجهه عن النار سبعين خريفا

Bermaksud : ( Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun ) Sahih Al Bukhari ( 2685 ) Sahih Muslim ( 1153 )

7. Puasa Adalah Benteng Daripada Nafsu Syahwat

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita jalan terbaik untuk menundukkan gelora nafsu syahwat khususnya para pemuda yang belum berkahwin dengan cara berpuasa. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Ibnu Mas'ud RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

يا معشر الشباب ، فمن استطاع منكم الباءة فليتزوج ، فإنه أغض للبصر ، وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Bermaksud : ( Wahai sekelian pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Maka sesungguhnya ia ( berkahwin ) lebih menundukkan pandangan dan lebih terpelihara akan kemaluan. Dan barang sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya pada puasa itu ada wija )
Sahih Al Bukhari ( 4779 ) Sahih Muslim ( 1400 )

8. Puasa Merupakan Salah Satu Jalan Ke Syurga

Telah bertanya Abu Umamah kepada Rasulullah SAW :
Wahai Rasulullah ! Suruhlah aku dengan sesuatu yang mana Allah memberikan aku manfaat dengannya. Bersabda Nabi SAW :

عليك بالصيام ، فإنه لا مثل له

Bermaksud : ( Hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya puasa itu tiada tolok bandingnya )
Sunan An Nasaei ( 2221 ) hadith sahih - Sahih Al Jami' ( 4044 )

Dalam satu riwayat yang lain, Baginda SAW memberitahu bahawa sesungguhnya di syurga terdapat satu pintu yang hanya dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Sahl bin Sa'ad RA berkata, bersabda Nabi SAW :

إن في الجنة بابا يقال له الريان ، يدخل منه الصائمون يوم القيامة لا يدخل منه أحد غيرهم ، يقال : أين الصائمون ؟ فيقولون ، لا يدخل منه أحد غيرهم ، فإذا دخلوا أغلق ، فلم يدخل منه أحد

Bemaksud : ( Sesungguhnya di syurga itu terdapat satu pintu digelarkan dengan nama Ar Rayyan. Orang-orang berpuasa masuk melaluinya pada hari kiamat kelak, dan tiada seorang pun selain mereka masuk melaluinya. Dikatakan : Di manakah orang-orang yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun, tidak masuk melalui pintu itu seorang pun melainkan mereka. Apabila mereka semua sudah pun masuk, pintu itu ditutup dan tiada seorang pun yang boleh masuk melaluinya )

9. Puasa Boleh Memberi Syafaat Kepada Tuannya

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al Hakim daripada Abdillah bin Amru bin Al A'as, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة ، يقول الصيام : أي الرب منعته الطعام والشهوات بالنهار فشفعني فيه ، ويقول القرآن : منعته النوم بالليل فشفعني فيه ، قال : فيشفعان

Bermaksud : ( Puasa dan Al Quran memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa : Wahai Tuhan, aku menghalangnya daripada memakan makanan dan nafsu syahwat di siang hari, jadikan aku syafaat untuknya. Berkata Al Quran : Wahai Tuhan, aku menghalangnya daripada tidur di malam hari, jadikan aku syafaat untuknya. Berkata Nabi SAW : lalu kedua-duanya memberi syafaat kepada tuannya )
Musnad Imam Ahmad ( 2/174 ), Mustadrak Al Hakim ( 1/554 )
Hadith sahih - Sahih Al Jami' ( 3882 )

10. Puasa Merupakan Kaffarah ( penghapus ) Dosa

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Huzaifah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

فتنة الرجل في أهله وماله وولده وجاره تكفرها الصلاة والصوم والصدقة والأمر والنهي

Bermaksud : ( Fitnah seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya kaffarahnya adalah solat, puasa, sedekah, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran )
Sahih Al Bukhari ( 1796 ) Sahih Muslim ( 144 )

Dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah RA berkata, bersabda Nabi SAW :

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Bermaksud : ( Barang sesiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dalam keadaan dia beriman dan mengharapkan balasan baik daripada Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu )
Sahih Al Bukhari ( 38 ) Sahih Muslim ( 760 )

Daripada Abu Hurairah RA berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :

الصلوات الخمس ، والجمعة إلى الجمعة ، ورمضان إلى رمضان ، مكفرات ما بينهن إذا اجتنب الكبائر

Bermaksud : ( Solat fardhu 5 waktu, jumaat hingga jumaat selepasnya, ramadhan hingga ramadhan selepasnya merupakan penghapus dosa di antaranya, ( dengan syarat ) dia tidak melakukan dosa besar ) Sahih Muslim ( 233 )

11. Puasa Merupakan Satu Sebab Kebahagian / Kesejahteraan Di Dunia Dan Di Akhirat

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW :

للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه

Bermaksud : ( Bagi orang yang berpuasa itu 2 kegembiraan ; kegemberiaan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya )
Sahih Al Bukhari ( 1085 ) Sahih Muslim ( 1151 )

12. Bau Mulut Orang Yang Berpuasa Lebih Wangi Di Sisi Allah Berbanding Haruman Misk

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA, bersabda Nabi SAW :

والذي نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك

Bermaksud : ( Dan jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah jika dibandingkan dengan haruman misk )
Sahih Al Bukhari ( 1805 ) Sahih Muslim ( 1151 )


Cara Mengerjakan Solat Tasbi Mengikut Sunnah



Mungkin ramai yang tertanya, bagaimana nak kerjakan Solat Tasbih. Pada ruangan ini, jom kita kongsikan caranya semoga bermanfaat bagi sesiapa yang inginkan kebaikan. Sebelum tu tu, kita lihat dulu apa fadilatnya agar dapat beri sedikit motivasi....

Bersabda Nabi SAW kepada bapa saudaranya Al Abbas bin Abi Al Muttalib RA :

( ....sekiranya engkau mampu mengerjakannya ( iaitu solat tasbih ) sekali dalam sehari, maka kerjakanlah. Sekiranya engkau tak mampu, maka kerjakanlah sekali dalam setiap kali jumaat ( seminggu sekali ). Sekiranya engkau tak mampu, maka kerjakanlah sekali pada setiap bulan. Sekiranya engkau tak mampu, maka kerjakanlah sekali dalam setahun. Sekiranya engkau tak mampu, kerjakanlah sekali dalam tempoh hidupmu )

Status hadith : Sahih Lighairi

Rujukan ;
1) Sahih Abi Daud ( 1173 )
2) Sahih Misykat Al Mashobih ( 1328 )
3) Sahih Al Jami' As Shoghir ( 7397 )

Ikutilah cara berikut ;

1) Solat Tasbih dikerjakan dengan 4 rakaat ( 2 salam )

2) Dibacakan Al Fatihah dan surah ( pilih sendiri ) pada setiap rakaat

3) Selepas membaca surah dalam keadaan berdiri, hendaklah dibaca ( subhanallah, alhamdulillah, la ilah illa Allah, Allahuakbar ) sebanyak 15 kali

4) Kemudian ruku' dan baca bacaan ketika ruku', selepas itu bertasbih dengan tasbih di atas sebanyak 10 kali

5) Kemudian i'tidal dan baca bacaan lazimnya, selepas itu bertasbih sebanyak 10 kali

6) Kemudian sujud dan baca bacaan ketika sujud, selepas itu bertasbih sebanyak 10 kali

7) Kemudian duduk antara dua sujud dan selepas bacaan lazimnya, bertasbih sebanyak 10 kali

8) Kemudian sujud kedua dan selepas bacaan lazimnya, bertasbih sebanyak 10 kali

9) Kemudian duduk sebelum bangkit untuk rakaat kedua, bertasbih sebanyak 10 kali

** Dikerjakan dengan cara di atas pada rakaat kedua dan memberi salam. Kemudian dikerjakan sekali lagi sepertimana solat pertama. Jumlah tasbih semuanya ialah sebanyak 300 kali.

Peringatan : Doa sebelum memberi salam

Ada sesetengah orang membaca doa di bawah ini selepas membaca tasyahhud, sebelum memberi salam.


Perlu diberi perhatian di sini bahawa doa tersebut tidak tahbit secara sahih daripada Nabi SAW. Riwayatnya adalah terlalu lemah ( dhaif jiddan )
Sila rujuk : Kitab Dhoif At Targhib Wa At Tarhib, tulisan Syeikh Nasiruddin Al AlBani - Kitab An Nawafil, juzuk 1 m/s 104 )



Duit Kita Dulu dan Kini

Ini antara duit yang pernah digunakan di negara kita Malaysia ( Malaya ), sebelum mencapai kemerdekaan iaitu pada zaman kolonial British. Penulis percaya ramai anak-anak sekarang sudah tidak tahu apatah lagi generasi muda yang kebayakkan lebih memilih untuk hidup secara digital. Jom kita tengok ... susah nak dapat sekarang ni. Kalau ada pun harganya mesti mahal.......











Manakala yang ini pulak antara duit Malaysia selepas mencapai kemerdekaan......pun susah nak dapat.. Penulis pun sempat yang hujung sahaja. Pada masa simbolnya adalah $, mcm dollar. Masa ni duit besar-besar nilainya. Paling besar $ 1000 dan susah sangat kalau nak belanja di kedai. Apa tidaknya, nak membeli hanya $ 20 sahaja, tapi hulur duit $ 1000. Tuan kedai jeling semacam lah jawabnya.











RM diperkenalkan utk menggantikan simbol $ ......




Doa Adalah Perisai dan Senjata Orang Mukmin


Doa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam agama Islam. Ianya merupakan simbol kepada keperluan dan hajat seorang hamba di hadapan Penciptanya iaitu Allah Taala. Selain itu, ianya adalah perisai yang amat ampuh menangkis segala kemudharatan sama ada dari dalam mahu pun luar. Apa tidaknya, apakah di sana masih terdapat jalan atau cara yang boleh menyaingi apatah lagi menandingi apa yang telah diajarkan oleh Baginda SAW yang menerima perutusan/wahyu daripada Allah Taala Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dengan sebab itu, Baginda SAW telah mengajarkan kepada para sahabatnya agar sentiasa berpegang kepada ' perisai ' ini agar kehidupan mereka aman dan sejahtera. Ikutilah satu terjemahan sebuah buku yang berjudul Hisnul Muslim ( Perisai Seorang Muslim ) yang yang dikarang oleh Syeik Said Wahf Al Qahthaniy...Semoga Allah Taala memberi ganjaran yang besar kepada beliau dan kepada mereka yang berusaha menyebarkannya kepada orang lain untuk dimanfaatkan bersama...Aamin...

Penghulu Segala Istighfar


Bermaksud ;
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang berhak diabdikan dengan sebenar-benarnya melainkan Engkau, Engkau telah menjadikanku dan aku adalah hamba-Mu dan aku di atas perintah dan perjanjian-Mu sekadar kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada segala kejahatan yang telah aku lakukan, aku mengakui nikmat-Mu ke atasku dan aku mengaku akan dosaku. Maka, ampunilah dosaku, sesunguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau.


Pesanan ;

Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang kerana fadilat yang dijanjikan oleh Allah Taala adalah amat besar dan ianya digelar sebagai Sayyidul Istighfar ( penghulu atau ketua bagi segala istighfar ).
Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dalam kitab sahihnya ( no hadith 5831 ) daripada Syaddad bin Aus RA berkata, bersabda Nabi SAW ( bermaksud ) : “ Penghulu segala istighfar ialah apabila kamu berkata …….( doa di atas ) ……Dan sesiapa yang membacanya di siang hari dalam keadaan dia yakin dengannya lalu dia mati pada hari tersebut sebelum tiba waktu petang, maka dia adalah daripada penghuni syurga. Dan sesiapa yang membacanya di malam hari dalam keadaan dia yakin dengannya lalu dia mati pada malam tersebut sebelum tiba waktu pagi, maka dia adalah daripada penghuni syurga ”.

Rahsia Kyusu' Dalam Solat



Satu kenyataan yang harus diperbetulkan, biar pun inilah kalimah yang sering dilontarkan. Apakah untuk memperolehi kusyuk di dalam solat masih mejadi rahsia kepada kita ? Jika rahsia, sememangnya kita tidak akan tahu dan tidak sekali-kali memperolehinya. Atau pun ianya bukan rahsia, cuma bagaimana cara memperolehinya masih menjadi rahsia? Apa pun, sebenarnya kusyuk dan cara memperolehinya bukanlah rahsia kerana ianya sudah diterangkan dengan sejelas-jelasnya oleh Baginda SAW. Tetapi kenapa kita masih menganggapnya sebagai rahsia? Jawapannya mudah sekali …. kerana kita belum bersedia melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW. Kita lebih suka mengambil atau mengikut cara lain yang mungkin juga diambil daripada orang-orang yang terdahulu daripada kita tanpa kita selidik dan kaji akan kesahihannya. Maka natijahnya kita akan kehilangan arah dan akhirnya kita merasakan segala ibadat terutama solat yang dikerjakan itu serba tidak kena / lengkap. Akhirnya kita bertanya kepada diri kita sendiri, kenapa solat yang aku kerjakan ini persisnya tidak manis apatah lagi dapat menghindarkan aku daripada perbuatan keji dan mungkar.
Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Baginda SAW di dalam sebuah hadith yang berbunyi :

عن عمارِ بنِ ياسر قال :
سَمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول :
( إن الرجل لينصرِف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها )

Daripada Ammar bin Yaasir RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
( Sesungguhnya seorang itu apabila selesai ( daripada solatnya ), tidak ditulis baginya daripada solat itu melainkan satu persepuluh, satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga dan separuh )

Riwayat Imam Abu Daud ( no hadith 789 )
Status hadith : Hasan ( Sahih Ar Targhib wa At Tarhib no 537 )

Amat malanglah kiranya solat yang kita kerjakan lima kali sehari hanya ditulis separuh, atau satu pertiga hinggalah satu persepuluh sahaja. Persoalannya, apakah status baki yang tidak ditulis itu ? Sudah tentu salah satu penyebabnya ialah tiadanya kusyuk di dalam solat kita. Anggota badan kita yang zahir melakukan solat tetapi hati kita tidak sama-sama mengerjakan solat. Mungkin pada masa itu hati kita sedang memikirkan soal-soal perniagaan, kerja di pejabat, hutang keliling pinggang, masalah anak-anak dan isteri dan bermacam-macam perkara yang tidak bermain difikiran kita sebelum ini. Maka berjayalah usaha syaitan mahu melihat solat seseorang itu tidak sempurna dan akhirnya manusia kehilangan benteng yang ampuh menghalangnya daripada perbuatan keji dan mungkar. Hal ini sememang telah diceritakan oleh Baginda SAW bahawa apabila tibanya waktu solat, maka hadirlah syaitan yang cuba mengingatkan manusia apa yang dia tidak fikirkan sebelum ini sehingga dia lupa berapa rakaat telah dikerjakan ( Sahih Al Bukhari no hadith 3215 )

Mari kita perhatikan prinsip-prinsip yang seharusnya dijadikan pegangan dan panduan agar kita mendapat kusyu' yang sempurna di dalam ibadat solat.

1) Seharusnya Dimulakan Dengan Wuduk Yang Sempurna.

عن عثمان بن عفان قال:
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:
( ما من امرئ مسلم تحضره صلاة مكتوبة فيحسن وضوءها وخشوعها وركوعها إلا كانت كفارة لما قبلها من الذنوب ما لم تؤت كبيرة ..... )

Daripada Uthman bin Affan berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

( Tiadalah seseorang muslim itu apabila tibanya waktu solat fardhu, maka dia memperelokkan wuduknya, kusyuknya dan ruku'nya melainkan ianya adalah kaffarah terhadap dosa-dosanya sebelum itu selagi ia tidak melakukan dosa-dosa besar ….. )

2) Melangkah Dengan Tenang / Thoma'ninah Ke Masjid

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:
( إذا سمعتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوَقار ، ولا تسرِعوا، فما أدركتم فصلوا، وما فاتكم فأتموا )

Daripada ِ Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda :
( Apabila kamu mendengar iqamah, maka hendaklah kamu menuju kepada sembahyang dengan tenang, dan jangan kamu mempercepatkan langkah, maka apa yang kamu sempat, maka kerjakanlah solat, dan apa yang tertinggal olehmu, maka sempurnakanlah )
Riwayat Imam Al Bukhari ( no hadith 628 )

3) Membaca Doa Ketika Masuk / Keluar Dalam Masjid

Sentiasa membaca zikir sebelum masuk ke dalam masjid :

من الشيطان الرجـيم [ بسم الله ، والصلاة ] [ والسلام على رسول الله ] اللهم افتح لي أبواب رحمتك

Riwayat Imam Abu Daud ( no hadith 466 ) dan Imam Muslim ( no hadith 1602
Status hadith : sahih ( rujuk Sahih Al Jami' As Shaghir 4591

Sentiasa membaca zikir ketika keluar daripada masjid :

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله ، اللهم إني أَسأَلك من فضلك، اللهم اعصمني من الشيطان الرجيم

Riwayat Imam Muslim ( no hadith 1602 ) Sahih Ibni Majah ( 1 / 29 )

5) Meletakkan sutrah

Merupakan satu perkara yang sangat penting dilaksanakan tetapi dipandang sepi oleh kebanyakan orang. Sutrah ialah penghadang yang diletakkan di hadapan agar orang lain boleh melintas di hadapannya.Bersabda Rasulullah SAW ( bermaksud ) :

( Janganlah kamu solat melainkan dengan mengadap sutrah, dan jangan kamu biarkan seseorang melintas di hadapan kamu. Andainya dia enggan, maka hendaklah engkau peranginya, sesungguhnya syaitan bersamanya )

Sahih Ibni Khuzaimah. Sanadnya adalah jayyid ( Al Albaaniy )

6) Bersegera mengangkat takbir sebaik sahaja imam memulakan solat.

Seseorang itu tidak wajar menangguh untuk menngangkat takbir sebaik sahaja imam bertakbir tanpa sebab yang dibenarkan. Inilah waktu yang penuh dengan fadilat yang mana kebanyakkan daripada kita tidak mengambil berat akan kepentingannya. Apakah kita tidak mahu melafazkan amin ( آمين ) bersama imam dan ketika itu para malaikat juga bersama-sama melafazkannya ?

عن أبي هريرة : أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم قال:
( إذا أَمن الإمامُ فأمنوا، فإنه من وافق تأْمينه تأْمين الملائكة غفر له ما تقدم من ذنبه )

Daripada Abu Hurairah RA : Sesungguhnya Nabi SAW bersabda ( bermaksud ) :

( Apabila imam mengucapkan amin, maka hendaklah kamu mengucapkan amin. Maka sesungghnya sesiapa yang ucapan aminnya itu bersamaan dengan ucapan amin para malaikat, diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu )
Hadith riwayat Imam Al Bukhari ( no hadith 772 )

6) Minimumkan pergerakan dan hanya melakukan pergerakan yang dituntut dan pergerakan yang perlu sahaja.

Banyak bergerak ( yang tidak dituntut ) di dalam solat boleh mengakibatkan kita gagal mendapat kyusu' yang sebenarnya. Sebab itulah Baginda SAW menyuruh kita agar berdiri dengan tegak, meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, sentiasa memandang tempat sujud dan seumpamanya sebagai satu langkah agar hati kita sama-sama hadir mengadap Allah Yang Maha Esa.
Bersabda Nabi SAW apabila melihat satu kumpulan manusia menggerak-gerakkan tangan mereka di dalam solat tanpa mempunyai sebarang hajat ;

( Apakah aku melihat kamu menggerak-gerakkan tangan kamu seperti ekor kuda, diamlah ( jangan bergerak ) kamu semua di dalam solat ) Riwayat Imam Muslim ( no hadith 430 )

7) Sentiasa memandang tempat sujud. Jangan sekali-kali memandang ke langit atau ke kiri dan kenan kerana ianya menghilangkan rasa kusyu'.



Ini lah cara yang diajarkan oleh Baginda SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Hakim dan Al Baihaqi.

Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah mengerjakan solat dengan memandang ke langit. Turunnya ayat Al Quran berbunyi ( الذين هم في صلاتهم خاشعون ), lalu Baginda SAW menundukkan kepalanya di dalam solat ( berkata Al Hakim sahih dan menepati syarat Imam Al Bukhari dan Imam Muslim )

8) Sentiasa peka dalam mengamalkan cara pergerakan dan bacaan sebagaimana yang terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sahih sahaja. Pastikan semua syarat, rukun, perkara wajib dan sunat di dalam solat dikerjakan tanpa membeza-bezakan akan hukum-hakamnya.



Kesimpulan, perkara-perkara yang dinyatakan adalah sebahagian daripada cara-cara mendapatkan kyusu, di dalam solat. Semoga kita semua dimasukkan ke dalam golongan-golongan yang diberi rahmat oleh Allah SWT... Amiin


http://www.blogger.com/img/icon18_email.gif


Monday, May 11, 2020

Pengajian Usuluddin Thanawi Kiblah

Pengajian Usuluddin / Akidah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakkan ( PKP ) berlangsung untuk Thanawi Kiblah - Siri 1. Semoga anak-anak Thanawi akan terus mendapat manfaat biar pun terpaksa berada di bawah kawalan pergerakkan bermula 22 Mac 2020